GWM ORA 5 HEV Dilancarkan Di Malaysia, Harga Bermula RM106,800

November 19, 2026
Automotif

Lina Rosli

GWM Malaysia secara rasmi memperkenalkan GWM ORA 5 Hi2 HEV untuk pasaran tempatan.

SUV hibrid kompak ini hadir dengan teknologi hibrid pintar Hi2 yang menggabungkan enjin petrol turbo 1.5 liter bersama motor elektrik, selain dipasang secara tempatan (CKD) di Melaka.

Bercakap mengenai teknologi hibrid pintar Hi2, ia merupakan sistem hibrid pintar generasi baharu daripada GWM yang menggunakan seni bina pacuan roda hadapan bersama pek bateri di bahagian belakang.

Dengan ini, ia menawarkan pemanduan yang pantas, lancar, senyap, dan cekap tenaga (Fast / Smooth / Quiet / Efficient).

Dari segi prestasi, gabungan enjin dan motor elektrik itu menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS serta tork 476 Nm.

Iadipadankan dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan yang menyalurkan kuasa kepada roda hadapan.

GWM turut menyatakan ORA 5 HEV mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Untuk penggunaan bahan api, model ini mencatatkan penggunaan serendah 4.4 liter bagi setiap 100 km, dengan jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,100 km berdasarkan keadaan ujian tertentu.

Sebagai sebuah kenderaan hibrid, ORA 5 HEV tidak memerlukan pengecasan luaran kerana sistem baterinya dicas melalui operasi kenderaan.

Dari segi saiz, GWM ORA 5 HEV mempunyai panjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm dan tinggi 1,641 mm, dengan jarak roda 2,720 mm.

Reka bentuk luarannya menampilkan lampu hadapan berbentuk titisan air, lampu belakang dengan rekaan tersembunyi serta rim aloi 18 inci.

Ruang kabin pula dilengkapi skrin inforia 14.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar.

Antara kelengkapan lain termasuk pengecas telefon nirwayar 50W, 64 pilihan pencahayaan ambien serta kemasan dalaman dengan aksen warna rose gold.

Bagi yang berminat, GWM ORA 5 HEV ditawarkan pada harga bermula RM106,800 di Malaysia.

Model pemasangan tempatan ini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah GWM di seluruh negara.

Baca juga: Pandang Pertama: GWM ORA 5 HEV – SUV Hibrid Baharu Dengan Jarak Lebih 1,100 KM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd