Samsung Galaxy A54 – Adakah Model Kali Ini Berbaloi Untuk Anda Dapatkan?
Lina Rosli
Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi pengalaman pertama menggunakan Samsung Galaxy A54. Jadi, untuk kali ini pula kami berminat untuk menceritakan secara menyeluruh tentang apakah perasaan penggunaan peranti ini berbanding telefon pintar yang Tajria gunakan sebelum ini.
Peranti Kelas Pertengahan Yang Berbaloi
Dengan saiz skrin yang besar, penawaran cip yang lebih berkuasa selain ketahanan bateri lebih lama yang tersedia pada Samsung Galaxy A54, ia sekaligus memberikan pelbagai manfaat yang boleh dinikmati pengguna.

Sebagai contoh, peranti mudah-alih ini boleh digunakan sebagai peranti ‘Awesome’ yang boleh digunakan untuk melakukan kerja suntingan ringkas yang tidak memerlukan perisian ketiga untuk merakam dan menghasilkan rakaman yang cantik dan menarik.
Malah, mengambil inspirasi dari rekaan Samsung Galaxy S23, model terbaru untuk siri Galaxy A ini juga turut hadir dengan reka bentuk peranti yang moden dan minimalsi. Ia menyertakan rekaan yang tidak begitu rata pada bahagian sisi jika dibandingkan dengan model A sebelum ini selain membawakan saiz yang lebih padat, nipis dan tahan lasak.

Sepanjang penggunaan Samsung Galaxy A54 ini, penulis merasakan bahawa peranti bukan sahaja hadir dengan kelengkapan ‘top-tier’ kepada pengguna, malah ia turut hadir dengan sejumlah ciri yang menarik yang dilihat banyak mempengaruhi pengalaman penggunaan.
Untuk pengetahuan anda, saiz skrin peranti ini juga sedikit lebih kecil iaitu 6.4 inci jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy A53, ia hadir dengan saiz skrin melangkaui 6.6 inci.
Dari segi rekaan, masih mengekalkan susunan kamera belakang secara berderet ke bawah, Samsung Galaxy A54 ini menampilkan sistem tri-kamera dengan lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 12MP dan lensa makro 5MP. Melengkapkan kamera adalah teknologi VDIS yang mampu mengambil gambar yang jelas dan mantap pada setiap masa di sebarang situasi. Sementara rakaman swafoto, ia menyertakan kamera 32-megapixel.
Pengalaman Merakam Gambar Di Kafe – OOTD Dan Makanan
Secara jujur, untuk rakaman gambar di dalam kafe boleh dikatakan tidak ada sebarang masalah yang berlaku. Setiap hasil gambar yang dirakam boleh dikatakan hampir sempurna.
Seperti yang anda lihat pada sampel gambar di bawah, ia menampilkan gambar makanan yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Perincian pada makanan jelas kelihatan ditambah lagi dengan mod kecerdasan buatan yang dapat mengecam gambar di dalam kategori makanan.
Walaupun gambar dirakam sewaktu berada di dalam persekitaran yang kurang terdedah kepada pencahayaan, namun, keseluruhan kualiti gambar boleh dikatakan sangat memuaskan.




Pengambilan gambar potret juga kini boleh diubahsuai paras bagi kesan ‘bokeh’ untuk gambar. Selain gambar menggunakan kamera utama, kamera swafoto juga membolehkan anda menggunakan mod potret.
Berdasarkan gambar yang dirakam, kualiti yang dipamerkan kelihatan begitu kemas. Jadinya, ia sangat sesuai untuk anda yang mungkin menggemari rakaman OOTD di dalam kafe, makanya kamera daripada Samsung Galaxy A54 ini adalah pilihan yang tidak menghampakan. Cuma kalau dilihat secara kasar, warna kulit mungkin akan kelihatan sedikit pucat jika ia tidak terdedah pada pencahayaan yang cukup.


Untuk penggunaan lensa makro pula, ia sedikit menghampakan. Seperti yang anda lihat, butiran gambar tidak dapat dilihat dengan begitu baik. Ia kelihatan kabur dan tidak menunjukkan apa-apa kelebihan pada rakaman yang diambil.
Di bawah adalah contoh gambar menggunakan mod makro pada peranti Samsung Galaxy A54 ketika berada di dalam keadaan yang kurang cahaya (indoor).

Gambar Dan Video Serentak Menggunakan Mod Single Take
Untuk model Samsung Galaxy A54 ini, mereka ada memfokuskan satu penawaran mod mengambil gambar yang baharu iaitu Single Take.
Waktu mencuba Single Take ini, saya berasa kagum yang mana ia boleh merakam video dan gambar dalam pada masa yang sama. Pada penggunaan sendiri, ia dilihat sangat berguna yang mana saya boleh mendapat pelbagai variasi jenis rakaman seperti rakaman video 3 kali laju, rakaman video ulangan, rakaman gambar dengan penuras hitam putih, rakaman gambar biasa melintang dan juga menegak.

Malah, apa yang menarik untuk setiap gambar yang dihasilkan, anda boleh menggunakan sistem kecerdasan buatan pada kamera yang mana boleh mengesan teks pada gambar. Dengannya, anda boleh melakukan carian terus untuk teks dan juga menyemak terjemahan untuk teks yang terpapar.

Rakaman Gambar Persekitaran Luar – Menggunakan Mod Malam
Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, hasil rakaman gambar dan video adalah sangat memuaskan. Namun, untuk beberapa keadaan, seperti gambar makanan, warna yang terhasil pada gambar boleh dikatakan terlalu tinggi nilai saturation yang mana ia mungkin didorong oleh faktor sensor kamera yang kecil menjadikan Samsung Galaxy A54 ini sukar mencari konsistensi dalam rakaman gamabr.

Walau bagaimanapun untuk rakaman mod malam pula, hasil gambar yang dihasilkan adalah konsisten. Bergantung kepada kehadiran pencahayaan dan juga objek sekeliling, gambar kadangkala akan kelihatan terang dan jelas. Tetapi sekiranya berada di kawasan kurang pencahayaan, ada kalanya gambar akan kelihatan kusam dan sedikit gelap.


Kelantangan Audio Sewaktu Memainkan Spotify
Siapa yang tidak gemar membuka muzik sewaktu ingin memasak? Ia seakan memberikan semangat untuk anda menyediakan makanan anda dengan lebih cekap dan pantas.
Disebabkan ia hadir dengan sistem audio stereo, kelantangan audio yang dihasilkan adalah cukup baik untuk ruang yang tidak begitu besar. Apabila saya meletakkan Samsung Galaxy A54 di ruang tamu, saya masih lagi boleh dengar dengan baik muzik yang dimainkan menerusi Spotify.
Apa yang buat hanyalah meletakkan audio pada paras 75% dan audio yang dimainkan tidak pecah, namun masih lagi memberikan kelantangan yang memadai untuk didengari di dapur.

Ketahanan Bateri – Anda Tidak Perlukan Power Bank
Kapasiti bateri yang ditawarkan secara amnya tidaklah begitu besar iaitu sekitar 5,000mAh sahaja. Namun, pada pendapat saya ia sudah memadai untuk penggunaan seharian sewaktu berada di luar.
Untuk penggunaan biasa saya yang mana sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih seperti Candy Crush, ia sudah mencukupi tanpa memerlukan anda untuk membawa power bank.
Namun, ia bukanlah satu perkara yang mengecewakan kerana Samsung Galaxy A54 ini hadir dengan sistem pengecasan pantas 25W yang hanya memerlukan sekitar 25 minit untuk 50 peratus dan sekitar 1 jam untuk ia kembali menjadi 100 peratus.

Dengan ini dapat disimpulkan yang mana penggunaan Samsung Galaxy A54 ini sememangnya menawarkan pengalaman yang cukup baik yang setanding dengan penawaran harganya.
Jadi, adakah Samsung Galaxy A54 merupakan peranti kelas pertengahan yang berbaloi untuk dibeli? Jawapannya adalah ya. Hal ini kerana dengan penawaran harga hanya RM1899, anda bukan boleh mengakses pelbagai fungsi menarik dari sudut rakaman gambar, multi tugasan dan sebagainya, tetapi juga beberapa penawaran lain dari sudut sokongan kemaskini sistem operasi seperti sokongan kemaskini sistem keselamatan selama 5 tahun, kemaskini sistem operasi selama 4 tahun dan waranti peranti selama 2 tahun
Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini? Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda?
Untuk mendapatkannya, anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan promosi menarik mengenai Samsung, sila layari laman web rasmi mereka.