Sudah Melangkah Masuk Ke Fasa Umur 30-an? Amalkan 5 Petua Kesihatan Ini – Khusus Buat Wanita
Lina Rosli
Setiap wanita perlu sering memastikan tahap kesihatan mereka berada pada tahap yang maksima. Tidak kiralah sebagai wanita berkerjaya, suri rumah ataupun srikandi yang menggalas kedua-dua peranan ini, kesihatan adalah keperluan utama yang perlu dititikberatkan bagi menjalani kehidupan yang baik di hari kelak.
Untuk pengetahuan anda, keputusan berkaitan kesihatan yang anda ambil pada fasa ini boleh mendatangkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan masa depan? Justeru, Tajria hari ini ingin berkongsikan 5 petua kesihatan dan diet yang boleh anda amalkan tatkala melangkah ke fasa 30-an bagi menjalani kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

Mengapa Wanita Di Usia 30-an Perlu Mengambil Berat Pada Kesihatan Diri?
Usia 30-an melambangkan yang mana anda telah menjalani kehidupan hampir tiga dekad dan ini bermakna setiap keputusan anda sepanjang tempoh ini mampu memberi kesan berpanjangan terhadap kesihatan masa depan.
Ketika anda sibuk mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi, mungkin anda akan merasakan bahawa badan akan menjadi:
- lebih cepat letih
- kekuatan otot mula merosot
- tubuh tidak lagi fleksibel berbanding di usia 20-an
Sungguhpun proses penuaan tidak dapat dielakkan, namun ia bukanlah sesuatu yang perlu dipandang remeh. Dengan gambaran badan yang semakin lanjut usia, anda juga akan mendapati badan anda akan memproses tenaga pada kadar yang lebih perlahan.

Oleh itu, membuat pilihan bijak tentang jenis makanan dan masa makan anda dapat mencetuskan impak positif terhadap kesihatan jangka panjang anda. Sememangnya, kesihatan tidak terpisah daripada nutrisi yang baik.
Amalkan 5 Petua Kesihatan Dan Diet Yang Baik Untuk Tubuh Badan
Nutrien utama seperti protein berperanan penting untuk menjana tenaga sel-sel badan, mengawal fungsi hormon, serta menyokong kekuatan otot anda untuk kehidupan seharian dan menyokong fungsi imun.
Berikut merupakan beberapa petua kesihatan dan diet bagi membantu anda di usia 30-an:
Dapatkan Protein Untuk Kesihatan Otot
Protein merupakan komponen penting bagi setiap sel badan anda dan berfungsi menghasilkan hormon, enzim, darah, antibodi, serta kulit, tulang dan otot.
Pengambilan protein sangat penting dan perlu dilakukan seiring dengan peningkatan usia. Hal ini kerana, protein mempengaruhi segala aspek kesihatan anda yang merangkumi pergerakan, keseimbangan, postur, mahupun kekuatan dan tenaga.

Jadi, sasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 52g protein setiap hari dari sumber haiwan yang rendah lemak seperti ayam, makanan laut, atau telur. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menggabungkan protein tidak lengkap dari sumber seperti kekacang, sayur-sayuran dan biji-bijian dalam setiap hidangan.
Untuk lebih mudah, anda boleh membahagikan pengambilan protein kepada tiga bahagian dan di setiap hidangan utama. Melaluinya, ia dapat menghasilkan tenaga selain dapat membantu meningkatkan kekuatan otot anda.
Amalkan Tabiat Senaman
Senaman dan nutrisi yang betul dapat membentuk gaya hidup sihat. Pada usia 30-an, anda harus bersenam dengan lebih bijak dan bukannya lebih keras.
Terapkan senaman ketahanan yang terbukti berkesan meningkatkan jisim dan kekuatan otot. Selain itu, senaman juga membantu mengurangkan tekanan dan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung dan diabetes.
Tidak minat aktiviti fizikal? Tidak mengapa, mula dengan yoga dan meditasi ringan untuk memupuk rutin dan tingkatkan tahap aktiviti anda secara beransur-ansur.

Sediakan Waktu Tidur Yang Mencukupi
Walaupun kedengaran mudah, mendapat tidur lena sangat mencabar khususnya bagi golongan ‘workaholic’, ibu bapa dengan anak-anak kecil, atau mereka yang berdepan gangguan tidur sejak usia 20-an.
Pastikan anda mendapat tidur mencukupi sekurang-kurangnya 7 hingga 8 jam setiap malam. Menurut kajian, tidur mencukupi dapat mempertingkatkan emosi anda, menguruskan berat badan, serta mencapai status jantung yang lebih sihat.
Pertimbangkan Suplemen Oral
Biarpun anda dapat memperoleh nutrien mencukupi melalui makanan, namun tidak dinafikan bukannya mudah untuk mendapat kuantiti yang tepat setiap hari.
Jika anda sukar untuk memenuhi saranan nutrien harian seperti vitamin D, Omega-3, kalsium atau protein, dapatkanlah rundingan doktor tentang pengambilan suplemen atau nutrisi khusus.
Contohnya, produk Ensure Max Protein dari Abbott merupakan pilihan sedia diminum yang ideal untuk memenuhi keperluan protein harian anda. Ia kaya dengan 25 vitamin dan mineral penting bagi memelihara paras tenaga dan kesihatan anda.

Sentiasa Cakna Akan Keperluan Dan Kesihatan Tubuh
Usia 30-an juga dianggap masa tepat untuk memulakan saringan dan pemeriksaan kesihatan berkala. Ini kerana pelbagai penyakit gaya hidup mungkin akan mula menunjukkan tanda-tandanya.
Pemeriksaan kesihatan yang berkala adalah sangat penting untuk wanita khususnya jika anda mempunyai sejarah keluarga penyakit barah, diabetes, atau penyakit jantung.
Malah, kajian menunjukkan penghidap penyakit kritikal, khususnya mereka yang berada lama di hospital, berisiko mengalami kehilangan otot yang ketara, kelemahan tulang dan otot, sekali gus menjejaskan keupayaan fizikal.
Oleh itu, perjumpaan dan komunikasi berterusan dengan doktor adalah kunci utama dalam memastikan anda sentiasa lebih cakna tentang kesihatan diri dan bersedia berdepan sebarang masalah kesihatan atau cabaran berkaitan dengan penuaan.

Dalam era moden ini, sudah tentu para wanita 30-an kini sibuk memenuhi tuntutan profesional dan peribadi yang semakin mencabar. Walau bagaimanapun, apabila hampir mencecah usia ini, anda mesti berusaha mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan penjagaan diri.
Harus diingatkan, kesihatan pada fasa ini akan menjadi penentu kesihatan anda pada masa akan datang. Sekecil manapun langkah permulaan anda, perubahan diet dapat mencetuskan impak jangka panjang yang bermakna bagi menangani perubahan badan anda.
Justeru, tumpukanlah perhatian pada kesihatan anda hari ini demi melangkah ke hari esok yang lebih sihat dan bahagia. Semoga bermanfaat!