Bagaimana Pengeluar Kereta Hadir Dan Bereksperimentasi Dengan ‘Bau Kereta Baharu’ Yang Tersendiri?
Lina Rosli
Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi kepada anda, apakah yang menyebabkan bau kereta baharu terhasil dan adakah ia boleh memudaratkan kesihatan.
Untuk pengetahuan anda, bau kereta baharu sebenarnya terdiri daripada campuran bahan kimia yang terkandung dalam pelbagai ciri dan komponen dalaman yang dipasang pada bahagian kenderaan.
Sebilangan komponen ini mengeluarkan sebatian organik yang mudah menguap (VOC) yang menghasilkan bau yang biasa. Ini kebanyakannya berasal dari pelarut berasaskan petroleum dalam plastik dan vinil yang mana ia dianggap sebagai pencemar udara.

Bagaimana Pengeluar Kereta Hadir Dan Bereksperimentasi Dengan ‘Bau Kereta Baharu’ Yang Tersendiri?
Tahukan anda, kebanyakan syarikat-syarikat pengeluar kereta seperti Nissan mempunyai kumpulan profesional yang mana tugas mereka adalah menghidu dengan teliti dan memastikan setiap kereta baharu mempunyai bau kereta baharu yang unik?
Dengan adanya kumpulan atau bahagian yang tersendiri untuk meneliti, ini menunjukkan bahawa bau ataupun wangian yang hadir di dalam kereta merupakan elemen penting bagi setiap jenama kenderaan.
NISSAN
Menurut Nissan, begitu banyak permintaan dibuat ke atas bahan yang digunakan di dalam kereta – mereka perlu bertahan selama bertahun-tahun, mesti mudah dibersihkan, menahan suhu yang melampau, dan sebagainya.
Di Nissan, individu yang bertanggungjawab untuk menyelia dan menganalisis bau kereta dikenali sebagai Tori Keerl, seorang jurutera bahan di pusat teknikal Nissan di Farmington Hills, Michigan. Menurut Keerl, setiap kali mereka melancarkan kenderaan baharu, pasukan beliau perlu menguji baunya – menghidu bahagian stereng, kusyen tempat duduk dan visor sebelum ia dimasukkan ke dalam kenderaan untuk memastikan ia mempunyai bau yang menyenangkan.

Untuk pengetahuan anda juga, bau di tempat duduk hadapan dan bau di tempat duduk belakang adalah berbeza.
Di tempat duduk hadapan, terdapat rangkaian bahan yang jauh lebih besar berhampiran hidung. Selain tempat duduk kulit atau kain, terdapat plastik pada papan pemuka dan apa sahaja konsol storan tengah diperbuat daripada. Manakala di tempat duduk belakang, anda lebih dikelilingi oleh bahan tempat duduk dan bahan karpet di bawah kaki.
VOLVO

Di Volvo pula, bau seperti bau asap apabila kereta dibiarkan di bawah sinar matahari selama beberapa jam, akan disenaraikan sebagai ‘5 – Sangat tidak menyenangkan’ pada skala ujian bau Volvo Cars. Ujian ini dijalankan menggunakan matriks ‘standard’ dan simulator cahaya matahari.
Para panel akan menilai setiap bau yang muncul di dalam dan luar kenderaan dan memberikan markah berdasarkan skala 1 hingga 6, yang mana skala ‘1’ menunjukkan bau yang ‘Tidak ketara’ dan ‘6’ adalah ‘Tidak Menyenangkan’.
Untuk mendapatkan kelulusan, kedudukan ujian mestilah tidak melebihi ‘3’, iaitu ‘Jelas ketara, tetapi belum lagi tidak menyenangkan’.
Tambah Volvo lagi, untuk pemilihan panel penilai, mereka akan menetapkan empat orang setiap kali nilai, dan kesemua panel haruslah – tidak merokok, tidak memakai minyak wangi dan mempunyai deria bau yang sensitif. Semasa ujian, setiap orang memberi gred mengikut skala.
FORD
Menurut jenama kenderaan Ford pula, kehadiran bau baharu pada kereta sedikit sebanyak memberi kesan kepada jualan mereka. Ini kerana, persepsi pelanggan tentang dunia dibina atas pelbagai deria. Sama ada kita ingin membeli kereta atau rumah, secara amnya tanggapan pelbagai deria kita terhadap produk atau perkhidmatan yang menentukan perasaan kita mengenainya.
Di Ford, mereka meletakkan banyak usaha untuk memastikan semua deria dipenuhi bermula daripada pendengaran – mewujudkan persekitaran kabin yang senyap dan memastikan bunyi yang rendah, getaran dan kekasaran, hingga menyentuh – memastikan bahan yang kami gunakan tahan lama dan selesa.

Bau kereta juga adalah yang paling sensitif dan berkuasa daripada lima deria, jadi para jurutera di Ford memberi penekanan tambahan pada perkara ini. Mana tidaknya, pengguna kereta akan menghabiskan lebih dari dua jam setiap hari terperangkap di dalam kereta sewaktu kesesakan lalu lintas.
Jadinya untuk memastikan kenderaan Ford menawarkan bau kereta yang menyenangkan, mereka juga mempunyai pasukan khas untuk menguruskan bau kenderaan. Kira-kira 300 ujian bau akan dilakukan pada bahan dan komponen kereta yang dimasukkan pada setiap model kereta.
Mercedes-Benz
Tidak seperti pengeluar kenderaan automotif lain, Mercedes-Benz hadir dengan sistem pewangi pilihan. Menerusi cara ini, pelanggan boleh memilih beberapa aroma tersendiri yang telah diuji tidak kekal pada pakaian penumpang.

Kesemua bau ini diletakkan di dalam botol yang mana pelanggan boleh menggantikannya kepada bau baharu yang lain setelah botol kosong. Mercedes-Benz menawarkan empat bauan untuk dipilih termasuk Freeside Mood (sitrus ringan), Nightlife Mood (rempah-rempah), Downtown Mood (bunga, kasturi) dan Sport Mood (hijau, sitrus).
Setiap haruman dicipta untuk dipadankan dengan baik dengan bau kulit Mercedes-Benz baharu. Setiap akan bertahan beberapa bulan sebelum ia perlu diganti, yang boleh dilakukan di pengedar Mercedes-Benz atau dipesan secara atas-talian.
Sumber: Nissan, Volvo, Forbes India