Perbezaan Antara Americano Dan Long Black
Lina Rosli
Pasti anda tertanya-tanya, apakah perbezaan antara Americano dan juga Long Black. Apabila selesai memesan, kedua-duanya kelihatan sama – minuman kopi ais yang berwarna hitam dan pahit.
Sebenarnya, jika anda meneguk kedua-dua kopi ini, anda boleh mengetahui perbezaannya. Ini kerana cara penyediaan kedua-dua Americano dan Long Black adalah berbeza.

Perbezaan Americano dan Long Black
Kunci utama untuk mengetahui perbezaan antara Americano dan Long Black ialah cara kedua-dua kopi dibuat.
Untuk Long Black, kopi ini dibancuh dengan menuang espresso ke atas air panas manakala Americano pula dibancuh dengan menuang air panas ke atas espresso.
Jika ditanya, mana satu yang lebih kuat rasanya antara kedua-dua kopi ini, jawapannya adalah Long Black.
Secara umumnya, Long Black mempunyai rasa lebih kuat kerana ia biasanya dibancuh dengan air yang lebih sedikit berbanding Americano. Minuman ini dihidangkan dalam cawan yang lebih kecil iaitu sekitar 230ml manakala Americano pula dihidangkan dalam cawan besar sama ada 350ml atau 470ml.
Berapa banyak kafein di dalam Long Black atau Americano?
Jumlah kafein bergantung kepada jumlah espresso yang digunakan dalam resipi Long Black dan juga Americano. Kedua-dua minuman ini akan mengandungi jumlah kafein yang sama, jika jumlah espresso yang sama digunakan.
Baca juga – Apa Itu Café Au Lait? Apakah Perbezaannya Dengan Latte Dan Capuccino?