Burger Emas, The Golden Boy Dijual Pada Harga Sekitar RM25,280
Lina Rosli
Secara umumnya, berapakah harga maksima yang sanggup anda bayar untuk sebungkus burger? Pastinya tidak lebih daripada RM20, bukan?
Tahukah anda, di Belanda, sebuah restoran yang dinamakan The Daltons yang terletak di Voorthuizen, Gelderland, telah menjual burger termahal – berharga sekitar RM25,280 (€5,000).
Dinamakan sebagai ‘The Golden Boy’, burger termahal di dunia ini dihasilkan oleh chef Robbert Jan De Veen pada tahun 2021. Burger mewah ini dikatakan menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi – untuk patti daging, ia dihasilkan daripada daging wagyu yang lembut dan cair dimulut dan dihiasi dengan ketam raja serta kaviar.

Apa yang menarik juga, burger ini menggoreng hirisan bawang menggunakan champagne Dom Pérignon bagi menghasilkan gabungan rasa manis, masam, masin, pahit, dan umami. Menjadikan burger ini bertambah mahal adalah salutan emas pada bahagian roti.
Berdasarkan perkongsian Guinness World Record, wang jualan burger ini iaitu sebanyak sekitar RM25,000 telah didermakan oleh Robbert kepada keluarga yang memerlukan – beliau menyediakan sekitar 1,000 pek makanan untuk diagihkan.
Sebelum ini, Guinness World Records turut pernah menemukan aiskrim paling makal dunia, Byakuya. Aiskrim ini ditawarkan pada harga $6380 iaitu sekitar RM29,252. Byakuya ini dijual oleh sebuah jenama aiskrim dari Jepun iaitu Cellato yang mengambil masa sekitar setahun setengah (1.5 tahun) untuk menghasilkannya.