Kedai Pop-Up IKEA Akan Dibuka Di Selayang Mall
Lina Rosli
Bagi yang tinggal di sekitar Selayang, nampaknya terdapat satu berita gembira untuk anda kerana kedai pop-up IKEA dijangka akan dibuka di Selayang Mall pada Julai ini.
Untuk pengetahuan anda, kedai pop-up IKEA merupakan kedai yang menjual sejumlah barangan IKEA – yang menjadi kegemaran ramai dan dibuka untuk tempoh waktu yang terhad. Sebelum ini, IKEA telahpun membuka beberapa kedai pop-up di beberapa buah negeri termasuk Johor dan Negeri Sembilan.
Di Selayang Mall, kedai pop-up IKEA ini akan dibuka di lot F-01 dan F-02 yang terletak di aras 1.

Baca juga: Apa Beza Gedung IKEA Biasa, Kedai Pop-Up IKEA Dan Pusat Pengambilan IKEA?
Jika dibandingkan dengan gedung berskala besar IKEA, barisan produk yang ditawarkan adalah lebih sedikit selain hanya memfokuskan kepada barangan dari kategori seperti barangan keperluan dapur, keperluan bilik tidur dan keperluan ruang tamu – yang mana tidak merangkumi barangan bersaiz besar.

Walau bagaimanapun, untuk anda yang ingin mendapatkan barangan bersaiz besar seperti perabot dan kelengkapan rumah yang lain, anda masih boleh menggunakan servis penghantaran ke rumah seperti penghantaran bungkusan (parcel delivery) ataupun pesanan secara atas-talian dan kemudian mendapatkannya di lokasi pengambilan yang berdekatan (collection point).