Tahukah Anda Sekitar 7% Daripada Emas Dunia Dikatakan Terdapat Pada Sisa Produk Elektronik?

August 25, 2022
fakta menarik

Lina Rosli

Untuk pengetahuan, pada tahun 2017, lebih daripada 44 juta tan sisa elektronik dan elektrik telah dihasilkan secara global. Jika dikira secara kasar, setiap individu di dunia menyumbang kira-kira enam kilogram pengeluaran e-sisa seperti telefon bimbit, tablet, komputer riba, jam, perkakas rumah, dan banyak lagi.

Berdasarkan laporan dari UNEP, kurang daripada 20% produk elektronik dan elektrik telah dikitar semula dengan betul yang mana kebanyakannya dilihat sama ada akan dibuang terus di dalam tong sampah ataupun berakhir di tapak pelupusan sampah tanpa dikendalikan mengikut kaedah yang bersesuaian.

Secara umumnya, perkara ini sering dipandang remeh oleh kebanyakan pihak kerana ia berkemungkinan besar berlaku disebabkan oleh kurangnya pendedahan dan pengetahuan tentang risiko pembuangan sisa produk elektronik ke atas alam sekitar.

Antara kesan utama pembuangan e-sisa secara tidak berhemah termasuklah berlakunya pencemaran tanah dan air bawah tanah yang mana ia bukan sahaja menyukarkan proses kitar semula tetapi juga boleh meletakkan sistem bekalan makanan dan sumber air pada paras yang tidak selamat. Hal ini disebabkan oleh kehadiran kandungan berbahaya dan karsinogenik seperti merkuri, plumbum dan kadmium pada tanah.

Sebagai tambahan kepada kesan kesihatan dan pencemaran, pengurusan e-sisa yang tidak betul turut akan mengakibatkan kehilangan ketara bahan mentah yang terhad dan berharga, seperti emas, platinum, kobalt dan unsur nadir bumi.

Berdasarkan kajian, sebanyak 7% daripada emas dunia pada masa ini mungkin terkandung dalam e-sisa yang mana jumlah ini dikatakan 100 kali lebih banyak emas dalam satu tan e-sisa berbanding dalam satu tan biji emas.

Selain itu, bagi setiap 1 juta telefon bimbit yang dikitar semula, anggaran sebanyak 16,000 kilogram tembaga, 350 kilogram perak dan 14 kilogram paladium boleh diperolehi semula.

Bukankah itu suatu angka yang sangat besar? Oleh yang demikian, praktikkan pembuangan e-sisa secara berhemah mulai hari ini. Untuk mengetahui lokasi kitar semula produk elektronik dan elektrik berdekatan anda, berikut adalah beberapa senarai kedai yang boleh anda kunjungi.

Baca: Mempunyai Gajet Lama Di Rumah – Anda Boleh Kitar Semula Di Lokasi Ini

Lihat juga: Pusat Kitar Semula & Beli Balik IPC Shopping Centre Hadir Dengan Ciri Digital Serba Baru

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd