Pengalaman membeli Ferrari tidak seperti pengalaman mendapatkan kereta biasa yang mana bagi setiap pembelian kereta mewah ini mempunyai peraturan tersendiri yang perlu anda patuhi.

Menurut Ferrari, larangan dan peraturan ini diperkenalkan bagi tujuan untuk menjaga identiti produk keluaran mereka kerana untuk setiap rekaan yang ditampilkan membawakan seni yang tersendiri serta tidak boleh diubahsuai dan ditukar sesuka hati.

Disebabkan pemilikan kereta Ferrari telah dikawal ketat oleh jenama tersebut, telah menjadi satu kesalahan sekiranya anda menjual semula kereta tersebut untuk mengaut keuntungan daripadanya.

Untuk pengetahuan anda, setelah pembeli bersetuju dan menandatangani kontrak permilikan kereta, mereka tidak boleh menjual semula Ferrari pada tahun pertama setelah memilikinya. Bahkan, mereka juga tidak boleh menjualnya semula selepas tahun itu tamat tanpa memaklumkan kepada pembuat kereta. Perkara ini bertujuan untuk memastikan syarikat tersebut dapat mengawal akses kepada model terpakai di pasaran dengan lebih mudah dan berhati-hati.

Selain daripada larangan jualan, terdapat 4 lagi peraturan lain yang perlu anda ketahui sekiranya berminat untuk memiliki kereta Ferrari pada masa hadapan.

#1 Pembeli Tidak Dibenarkan Mengubah Reka Bentuk Dalaman Dan Luaran Ferrari

Antara perkara utama yang tidak boleh anda lakukan apabila memiliki Ferrari adalah melakukan pengubahsuaian reka bentuk dalaman dan luaran kereta Ferrari tanpa pengetahuan syarikat. Jika anda melanggar peraturan ini, anda sama ada boleh disenaraihitam daripada membeli kereta Ferrari yang seterusnya ataupun pihak mereka turut akan mengambil semula kereta milik anda.

Menurut Ferrari, setiap kereta Ferrari boleh dibuat khusus dari kilang mereka. Makanya, adalah sangat mustahil untuk mengubahsuai enjin Ferrari untuk meningkatkan prestasi ataupun menambah sebarang aksesori lain yang sama sekali tidak memberi apa-apa kepentingan kepadanya.

#2 Pembeli Tidak Boleh Mengecat Kereta Berwarna Merah Jambu

Di samping itu juga, pemilik Ferrari juga tidak boleh mengecat keretanya berwarna merah jambu. Hal ini kerana, merah jambu bukanlah warna yang mencerminkan nilai Ferrari selain melanggar dengan etika dan piawaian jenama itu.

#3 Tidak Menyembunyikan Atau Menukar Logo Asal

Seterusnya, pastikan anda tidak sekali-kali mencuba untuk menukar logo asal kereta Ferrari. Perkara ini pernah dilakukan oleh Nyan Cat yang mana beliau menukar logo Ferrarinya kepada “Purrari” yang mana idea ini tidak mendapat penerimaan yang baik oleh pihak Ferrari.

Akhirnya, beliau mendapat surat tindakan daripada jenama itu yang menyatakan Ferrari tidak meluluskan lencana tersuai artis diletakkan pada kereta Ferrari Spider 458. Untuk pengetahuan anda, maksud di sebalik logo kuda hitam Ferrari sebenarnya merujuk kepada simbol tuah. Jadi, tidak hairanlah mengapa Ferarri tidak menggalakkan perbuatan tersebut.

#4 Jika Anda Mempunyai Lamborghini, Anda Tidak Boleh Beli Ferrari

Sesiapa yang mengetahui sejarah antara pengeluar kereta mewah Itali ini, kedua-dua jenama ini merupakan pesaing sengit dalam industri kereta super. Mereka sentiasa cuba untuk mengatasi satu sama lain dengan inovasi baharu.

Titik permulaan pesaingan ini berlaku apabila Lamborghini menggunakan enjin traktor ke dalam kereta mewah keluarannya. Namun, perkara ini diperlekehkan Enzo Ferrari sehingga menyebabkan Ferruccio iaitu pemilik jenama Lamborghini memutuskan untuk memulakan syarikat sendiri dengan menggunakan kepakaran dari bekas jurutera Ferrari.

Menarik bukan? Sama seperti nilai jualannya, setiap perincian yang ditampilkan pada kereta Ferrari adalah sangat berharga. Sebab itulah tidak mustahil untuk syarikat Ferrari mengawal ketat setiap tindak tanduk pembelinya bagi menjamin reputasi mereka.

Bukan itu sahaja, Ferrari turut memecahkan tradisi yang menyatakan “Customer Always Right“. Walaupun anda sudah memiliki Ferrari, atau nama telahpun berada di dalam senarai pembelian, ia tidak memberi sebarang kebebasan kepada pembeli. Sebaliknya, Ferrari akan sentiasa mempunyai hak untuk memilih siapa yang boleh memandu kereta edisi khas mereka.

Baca juga: Tahukah Anda Ferrari Mempunyai 15 Warna Merah Yang Berbeza – Mengapa Ferrari Merah Paling Popular?

Sumber: Wheel of Spin Pocket Lint Auto Evolution