Fanta Hadir Dengan Rekaan Logo Serba Baharu Pada Tin Dan Botol Minuman
Lina Rosli
Selepas Pepsi Dan 7UP, kini tiba giliran Fanta pula menjenamakan semula rekaan logo pada kesemua produk keluaran mereka.
Jika anda lihat pada logo baharu dari Fanta ini, ia dilihat menampilkan rekaan tipografi yang lebih minimal di samping menggunakan ilustrasi buah yang lebih moden mengikut jenis-jenis perisa minuman yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, Fanta masih lagi kekal menggunakan muka taip berhuruf besar tetapi diringkaskan dengan penggunaan warna yang lebih moden iaitu biru terang. Ia juga tidak menyertakan sekali ilustrasi lain seperti daun dan bentuk oren pada bahagian muka taip.
Dengan ini, ia sekaligus menjadikan jenama Fanta kini tidak hanya tertumpu pada minuman berperisa oren sahaja tetapi lebih variasi pada masa akan datang.

Tambah Fanta juga, dengan penjenamaan semula ini, mereka telah hadir dengan palet warna yang lebih bersesuaian dengan perisa yang ingin dipersembahkan pada produk mereka. Sebagai contoh, warna ungu menggambarkan rasa anggur yang segar, sementara hijau untuk epa, merah jingga untuk buah strawberi.