Untuk anda yang mungkin selalu keliru dengan etika kod pakaian yang perlu anda patuhi, sebelum ini Tajria pernah berkongsi kepada anda kod pakaian formal dan juga contoh pakaian smart casual yang boleh anda gayakan.
Dan kali ini, kod pemakaian yang kita akan bincangkan adalah berkaitan dengan kod pakaian kasual dan contoh-contoh serta panduan tentang pakaian kasual yang boleh dipakai.
Apa Itu Pakaian Kasual?
Kod pakaian kasual biasanya dianggap kurang formal – jika di dalam konteks pejabat, ia di dalam kategori pakaian kasual perniagaan.
Anda mungkin akan lihat para pekerja memakai pakaian yang lebih santai dan tidak formal tetapi tidaklah terlalu santai – ini merujuk kepada gaya yang dipakai ketika berehat di rumah ataupun ala-ala streetwear.
Apakah Pakaian Kasual Yang Boleh Dipakai Di Pejabat?
Antara contoh yang umum untuk kod pakaian kasual di pejabat adalah pemakaian seluar jeans – tetapi seluar berkenaan haruslah tidak koyak dan tidak bercorak.
Dan untuk kebanyakan syarikat atau pejabat, polisi yang digunapakai untuk etika pemakaian kasual adalah seperti:
- mengelakkan pemakaian baju, dress atau pakaian yang terdedah, menjolok mata.
- tidak menggunakan pakaian yang koyak atau kotor
- tidak mempunyai corak dengan mesej atau imej yang menyinggung perasaan dan menyentuh sensitiviti individu pada pakaian seperti tshirt, tudung, seluar atau lain-lain
Namun, harus diingatkan, kod pakaian kasual boleh kelihatan berbeza di setiap tempat kerja. Walau bagaimanapun, anda boleh menggunakan petua ini sebagai panduan umum tentang pakaian yang sesuai untuk dipakai di tempat kerja dengan kod pakaian kasual.
Contohnya, semasa minggu pertama anda bekerja, anda mungkin berpakaian lebih formal untuk memastikan anda tidak kelihatan kurang berpakaian berbanding rakan sekerja anda. Apabila anda tidak pasti tentang kod pakaian kasual, gunakan masa ini untuk memerhati pakaian rakan sekerja dan penyelia anda.
Cara Memilih Dan Mengayakan Pakaian Untuk Kod Pakaian Kasual
Kod pakaian kasual menawarkan lebih banyak kebebasan dari segi warna dan rekaan pakaian. Oleh itu, anda mempunyai beberapa pilihan untuk dipilih semasa membuat pakaian untuk tempat kerja. Pilihan ini termasuk:
Bahagian atas – baju
Kod pakaian kasual menawarkan pelbagai pilihan, termasuk baju berbutang, blaus, sweatshirt, pullover dan turtleneck.
Persekitaran ini mungkin memberikan lebih kebebasan untuk memakai pakaian berwarna-warni atau item dengan corak halus. Sesetengah pejabat yang mempraktikkan kod pakaian kasual juga membenarkan pekerja memakai kemeja-T.
Bahagian bawah – seluar dan skirt
Anda juga boleh memilih daripada beberapa pilihan seluar, seperti chinos, seluar slack dan khakis dalam pelbagai warna. Sementara untuk seluar jeans, anda boleh memakai seluar jeans yang berwarna gelap atau hitam.
Anda juga boleh memakai skirt yang sekurang-kurangnya paras lutut, dan untuk imej yang lebih kasual, anda boleh memakai skirt bercorak atau lebih berwarna daripada pejabat formal.
Pakaian luar:
Anda boleh menggayakan kardigan, baju sejuk atau jaket ringan mengikut keperluan. Warnanya juga lebih variasi seperti warna hijau, biru, kuning dan sebagainya.
Kasut:
Sementara untuk kasut, anda boleh memilih sama ada untuk memakai kasut flat, loafers dan oxfords. Dan boleh juga untuk anda menggayakan sama ada sneakers ataupun kasut sukan dengan warna yang neutral.
Dari segi aksesori, pilih barangan sama ada barang kemas, jam tangan, tali pinggang dan tudung ringan yang tidak akan mengganggu orang lain. Sebagai contoh, jika anda mempunyai gelang yang mengeluarkan bunyi apabila anda menaip, anda mungkin perlu meninggalkannya di rumah.
Minyak wangi atau cologne juga mungkin termasuk dalam kategori ini. Sesetengah rakan sekerja mungkin alah atau sensitif kepada bau, jadi adalah idea yang baik untuk mengelakkan apa-apa yang terlalu kuat.