Musim Panas Di Hokkaido: Hari Keempat Menyimpang Ke Furano Sebelum Sapporo

March 9, 2025
destinasi

tekong

(Artikel ini merupakan salah satu artikel dalam siri ‘Musim Panas di Hokkaido’. Klik untuk artikel Hari Pertama, atau Hari Ketiga)

Hari ke-4 merupakan hari perjalanan paling jauh dan hari terakhir untuk sebelum memulangkan kereta sewa pada pagi hari ke-5. Agenda hari tersebut adalah memandu dari Jozankei melalui Sapporo menuju Furano, sebelum kembali semula untuk mendaftar masuk hotel di Sapporo. Ada beberapa lokasi di Jozankei yang terpaksa saya lupakan seperti empangan Sapporo dan juga muzium kebudayaan Sapporo Ainu. Destinasi pertama yang dituju adalah memorial Makomanai Takino.

Tak Dibuat Orang – Pergi Perkuburan

Disini terdapatnya mercu tanda Moai Statue sebanyak 40 unit berdiri tegak yang memberikan satu pandangan unik. Saya memilih untuk bersinggah kerana arca ini kelihatan bagai Titan dalam siri animasi Attack of Titan. Lebih menarik lagi, arca ini boleh dilihat dari kapal terbang sekiranya cuaca baik.

Tidak jauh dari arca ini terdapat satu lagi arca seakan-akan Stonehenge namun saya tidak pasti apakah nilai melawat batu ini.

Menuju Furano – Ladang Ternakan & Tumbuhan

Meneruskan perjalanan adalah menuju Furano. Furano merupakan satu kawasan yang mempunyai pelbagai ladang tumbuhan dan ternakan dan salah satu tarikan utama adalah Cheese Factory. Tempat ini menjadi satu tempat persinggahan utama di Furano kerana pengunjung akan melawat sendiri kilang penghasilan keju dan melihat bagaimana keju dibuat. Terdapat juga sesi berbayar bagi pengunjung mempelajari cara membuat keju dan menikmati keenakan pizza keju. Bagi anda yang merancang untuk makan di sini, anda mungkin perlu menunggu sekitar 30 minit – 1 jam jadi rancang perjalanan anda sebaiknya. 

Selepas Furano Cheese Factory, tidak jauh darinya adalah kebun bunga Lavender yang mekar tumbuh pada musim ini. Terdapat banyak kebun bunga disini dan saya memilih kebun Lavender Nakafurano Hokuseiyama kerana ia mempunyai kerusi kabel membolehkan pengunjung naik keatas pada kadar bayaran 400 JPY seorang. Anda juga boleh berjalan menaiki bukit secara percuma. Di bukit kebun Lavender ini turut memberikan satu saujana mata memandang untuk melihat lembah Naka-Furano yang penuh dengan ladang.

Pengunjung juga bebas bergambar dengan bunga lavender dengan lebih dekat atau berjalan disekitar untuk melihat tanaman lain. Saya juga difahamkan kerusi kabel ini wujud kerana sewaktu musim salji, semua tumbuhan disini akan hilang ditimbus salji, dan kawasan ini menjadi kawasan aktiviti ski.

Meneruskan perjalanan lagi adalah salah satu misi utama untuk menikmati tembikai susu di Tomita Farm. Kebun ini sangat sesak dengan pengunjung, membuatkan anda perlu beratur lama untuk makan sepotong tembikai susu yang dijual pada harga 500 yen. Selain dari tembikai susu, terdapat juga aiskrim dan makanan lain di Tomita Farm dan ini yang membuatkan tempat ini penuh dengan pengunjung, jauh berbeza dengan lokasi tarikan lain di sekitar Furano.

Keunikan Alam Di Shirogane & Biei

Tempat seterusnya yang dituju adalah Shirogane Pond iaitu kolam semulajadi dengan pokok-pokok yang menghiasi, memberikan satu pemandangan yang cukup indah dan berbaloi berjalan jauh untuknya. Lokasi ini adalah sedikit jauh terperosok ke dalam, dan juga terlalu ramai pengunjung membuatkan anda juga terpaksa beratur untuk masuk ke ruangan parkir. Dan jika anda mengambil pengangkutan awam, maka bersedialah untuk mengambil teksi atau berjalan jauh ke lokasi ini.

Destinasi terakhir yang dituju adalah Biei Hills dimana disini juga terdapat kebun bunga yang menarik dan anda boleh menyewa ATV untuk berjalan-jalan di kebun bunga ini. Saya sampai terlalu lewat untuknya maka hanya sempat bergambar dan mendapatkan maklumat. 

Perjalanan pulang dari Biei ke Sapporo mengambil masa sekitar 3 jam meskipun menggunakan lebuhraya kerana had laju 100 km/j namun kerana hari beransur malam, memperlahankan juga kelajuan saya. Dalam keseluruhan perjalanan sepanjang empat hari ini, hari keempat ini merupakan hari yang tidak banyak saya berjaya lawati dan beberapa destinasi dan juga perancangan – seperti makan daging panggang ‘yakiniku’ di Asahikawa, Tokachidake Observatory, air terjun Shirahige terpaksa dilepaskan. Namun saya berharap sekiranya kembali ke Hokkaido dan meneroka bahagian utara pulau tersebut, Furano – Biei terpaksa saya kunjungi sekali lagi.

Bersambung ke hari kelima – Merempit Ke Otaru

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd