Carian
#100Hari100Aktiviti – Mula Dari Sedikit Untuk Mula Menabung
September 26, 2020 Lina Rosli

#100Hari100Aktiviti – Mula Dari Sedikit Untuk Mula Menabung

Sudah masuk hari keempat untuk pelan 100 Hari 100 Aktiviti. Jadi, adakah dengan aktiviti ini sedikit sebanyak telah memberi sedikit perubahan dalam rutin anda?

Sebelum ini, Tajria telah berkongsi beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan sebelum menuju 2021. Antaranya termasuk berjalan 30 minit setiap hari, tukar air manis kepada air mineral dan juga menjadikan sarapan sebagai rutin setiap pagi.

Oleh itu, untuk hari ini Tajria akan mencadangkan kepada cara untuk mula menabung bermula hari ini. 

Sedikit Demi Sedikit, Lama-Lama Jadi Bukit

Saya pasti peribahasa ini sudah sering anda dengari sejak dari bangku sekolah lagi. Apa yang dimaksudkan dengan sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit? Ia menggambarkan yang mana walaupun ia dimulakan dengan jumlah yang kecil pada awalnya, namun ia boleh menjadi satu kuantiti yang banyak jika dijadikan sebagai rutin setiap hari.

Money, Profit, Finance, Business, Return

Melalui kaedah ini, individu yang ingin menabung akan lebih mudah untuk mengimbangkan antara simpanan dan belanja, selain tidak akan berasa terbeban untuk menabung. 

Bagaimana Untuk Mula?

Sebelum anda mengasingkan sedikit wang untuk dimasukkan ke dalam tabung, anda perlu membuat pengiraan untuk bahagian komitmen dan juga belanja harian. Dengan mengenal-pasti berapa banyak jumlah yang diperlukan untuk membayar segala hutang dan belanja, ia lebih mudah untuk anda mula mengasingkan wang untuk simpanan.

Terdapat dua kaedah yang boleh anda lakukan sama ada; menerusi wang yang berada di dalam bank atau wang fizikal yang ada di dalam dompet.

Untuk wang yang ada di dalam dompet, anda boleh mulakan amalan menabung ini dengan mengasingkan nilai wang ringgit yang anda mampu untuk diletakkan ke dalam simpanan. Sebagai contoh, anda boleh menyimpan setiap kepingan wang RM5 yang anda di dalam dompet anda. Kaedahnya adalah anda akan mengasingkan wang kertas berwarna hijau setiap kali anda membuat transaksi pembayaran. 

Menerusi kaedah ini, anda tidak akan perasan berapa banyak wang yang telah anda simpan selain tidak memberikan impak yang besar di dalam perbelanjaan harian anda. Dengan kata lain, ia boleh memupuk disiplin dalam melaksanakan aktiviti menabung ini.

Untuk individu yang lebih gemar mengasingkan wang di dalam bank, anda boleh menggunakan kaedah menetapkan transaksi RM50 seminggu pada akaun secara automatik. Dengan cara ini, ia dapat memastikan wang simpanan anda ditolak dari akaun tanpa perlu anda memikirkannya.

________________________________________________________________________

Berikut adalah dua langkah untuk mula menabung yang boleh anda praktikkan bermula hari ini. Di harap dengan perkongsian ini dapat memberi perubahan dalam diri anda sebelum #Menuju2021. Jika anda mempunyai kaedah lain, kongsikan bersama Tajria supaya ia dapat diamalkan bersama-sama. Selamat mencuba!

Komen