Musim Panas Di Hokkaido – Apa Yang Anda Boleh Lakukan ?
tekong
Sebut sahaja Hokkaido, pastinya anda terimpikan cuti musim salji dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan musim sejuk. Namun bagaimana pula jika anda tidak dapat merancang untuk bercuti pada musim tersebut? Mungkin akhir tahun salah satu tempoh yang sangat sukar untuk anda mendapatkan cuti, jadi apakah sesuai bercuti diwaktu musim lain?

Hokkaido yang terletak di utara Jepun merupakan satu pulau yang lebih hampir dengan negara Rusia. Justeru walaupun musim panas, cuacanya masih nyaman, sama perasaannya seperti berada dalam kafe atau pejabat yang mempunyai pendingin hawa. Tahun lalu saya berkesempatan melancong ke Hokkaido di pertengahan Julai dan berikut merupakan apa yang saya lakukan selama hampir seminggu berada disana.
Hari Pertama – Mendarat Di Sapporo & Menyewa Kei Car
Saya mengambil penerbangan Asiana Airlines dari Singapura ke Lapangan Terbang Sapporo-New Chitose dengan lapangan terbang Seoul Incheon sebagai persinggahan. Syarikat penerbangan tersebut menjadi pilihan kerana ia menawarkan tambang yang berbaloi, namun Asiana Airlines tidak terbang ke Malaysia justeru saya ke Singapura terlebih dahulu, dan singgah ke Incheon untuk beberapa jam sebelum mendarat di Sapporo.
Di Lapangan Terbang Sapporo, saya telah menyewa kei-car iaitu istilah untuk kereta buatan Jepun bersaiz kecil dan mempunyai kapasiti enjin maksimum 600 cc selama 5 hari. Ini kerana kebanyakan lokasi menarik di Hokkaido adalah jauh dan juga jauh dari pengangkutan awam. Sekiranya anda mengunjungi sesuatu tempat menggunakan sistem kereta api, anda masih perlu menempah teksi untuk pergi ke lokasi yang sekitar 15-30 minit pemanduan menggunakan kereta. Oleh itu lebih baik menyewa dan untuk Nissan Roox yang saya sewa selama 5 hari, harga sewaan tersebut adalah sekitar RM 1,200 / 40,150 yen pada ketika itu.
Untuk memandu di Jepun, anda memerlukan Lesen Memandu Antarabangsa / International Driving Permit (IDP). Lesen Memandu Antarabangsa ini hanya diberikan kepada pemegang lesen kompeten (CDL), dan anda boleh mendapatkannya di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan berhampiran dengan membayar RM 150 untuk diizinkan memandu di negara-negara terpilih selama 1 tahun. Pemandu dengan lesen percubaan (Lesen P) tidak boleh memohon IDP.


Untuk keseluruhan percutian ini, saya akan menyewa kereta selama 4 hari, kemudiannya menyewa motosikal selama 1 hari, dan hari terakhir sekadar berjalan-jalan di bandar Sapporo sebelum pulang pada hari ketujuh. Keseluruhan perjalanan dengan kenderaan adalah melebihi 1000 km, merangkumi destinasi popular seperti:
- Jigokudani Hell Valley
- Lake Toya
- Goryokaku
- Mt Hakodate Observation Deck
- Kanemori Red Brick Warehouse
- Tsutaya Hakodate
- Shikotsu Toya National Park – Observation Deck
- Touge no Chaya – Nakayama Pass
- Jozankei Luminarie (Hanya pada Musim Panas)
- Perkuburan Makomanai Takino
- Lavender Farm Nakafurano Hokuseiyama
- Shirogane Blue Pond
- Otaru Music Box Museum
- Cape Kamui
- Sapporo TV Tower
- Deretan Pekedai Tanuki Koji
- Hitsujigaoka Observation Hill
Memandu Ke Noboribetsu – Jigokudani Hell Valley & Bermalam di Tasik Toya

Destinasi pertama yang ditujui adalah Noboribetsu yang mempunyai banyak mata air panas dan menempatkan Jigokudani yang juga dikenali sebagai Hell Valley. Ini kerana lokasi ini menempatkan lembah geoterma dan bau sulfur boleh menusuk hidung anda. Terdapat banyak hotel yang turut menempatkan ‘onsen’ iaitu sumber mata air panas semulajadi yang terhasil dari aktiviti geoterma. Di Jepun, untuk sesuatu hotel dan lokasi menggunakan kata kunci ‘Onsen’, mata air tersebut perlu mengandungi kandungan mineral yang tinggi, barulah layak ia menggunakan terma tersebut.


Saya tidak mengambil masa yang lama di Jigokudani kerana hanya melihat lembah tersebut, dan masuk adalah percuma, namun buat anda yang memandu, anda perlu membayar parkir. Saya meneruskan perjalanan ke lokasi yang seterusnya iaitu kolam Oyunuma yang juga merupakan sumber mata air panas. Berhampiran lokasi ini, terdapat sungai air panas Oyunuma dan pengunjung boleh merendamkan kaki. Ini merupakan destinasi pilihan sebenar selepas hampir seharian terbang, sementara belum sampai ke hotel yang dituju.
Selepas itu saya meneruskan perjalanan ke Tasik Toya dan lokasi yang dituju adalah Hotel Hanabi, Toyakoonsen. Dari Noboribetsu, sewaktu musim panas anda boleh melalui pintasan Orofure yang berbukit. Disini anda hanya dapat melihat kawasan hutan Taman Negara Shikotsu-Toya sebelum dapat melihat tasik Toya yang luas.

Tasik Toya merupakan tasik yang sangat luas dan terdapat pelbagai hotel di sekitar tasik ini, dengan ‘pulau’ Nakanoshima yang terletak di tengah tasik. Pada musim panas, salah satu aktiviti di seluruh Jepun adalah persembahan bunga api dan di Tasik Toya, setiap hari akan ada persembahan bunga api yang sangat menarik. Hotel Hanabi yang saya pilih ini bermaksud bunga (hana) dan api ( -bi) jadi dari balkoni hotel ini, anda boleh lihat persembahan bunga api yang menarik. Anda boleh sahaja pergi berjalan di sekitar tasik kerana persembahan bunga api ini mengambil masa sekitar 20 minit namun saya memilih untuk melihat dari balkoni hotel kerana sudut pandang yang lebih baik.

Oleh kerana keseluruhan perkongsian ini panjang, maka saya pecahkan kepada beberapa artikel lain bagi memudahkan pembacaan 🙂
Hari Kedua – Memandu ke Hakodate
Hari Ketiga – Dari Hakodate Menuju Perkampungan Onsen Jozankei
Hari Keempat – Dari Jozankei Ke Sapporo, Menyimpang Dahulu ke Furano